PROFESIONALISME, PERANAN DAN CARA MENINGKATKANNYA

PENDAHULUAN
Pendidikan Islam mempunyai kedudukan yang suci dan penting. Ia menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari Islam dan merupakan ibadat yang besar. Kepentingannya amat jelas apabila kita meneliti kepada wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah menyentuh kepada aspek berkenaan. Ia tidak dimulai dengan perintah yang berhubung dengan perkara yang lain seperti solah,puasa atau haji dan lain-lain. Ia juga tidak menyentuh tentang persoalan ekonomi,sosial dan politik. Tetapi ia dimulakan dengan perintah yang berkaitan dengan pendidikan. Firman Allah yang bermaksud :
“Bacalah ( Wahai Muhammad ) dengan namaTuhanmu yang mencipta sekelian makhluk.Ia mencipta manusia dari sebuku darah beku,bacalah, dan Tuhanmu yang mulia yang mengajar manusia dengan peaantaraan pena.” (Al-Quran, Al-Alaq: 1-4)

Misi utama yang dibawa menerusi wahyu pertama ini mengandungi perintah yang menyuruh manusia belajar mengenal Tuhan , memahami fenomena alam, memahami diri sendiri serta menghayati bahawa cara hidup yang baik adalah tergolong dalam prinsip aqidah , ilmu dan amal. Ketiga-tiga perkara tersebut pula dianggap sebagai teras kepada Falsafah Pendidikan Islam.

Ia tidak terbatas kepada ilmu pendidikan duniawi semata-mata , tetapi meliputi dua lapangan iaitu dunia dan akhirat. Dalam hubungan ini, Abud (1985) menyatakan bahawa ilmu dalam Islam terbahagi kepada dua kumpulan yang besar, pertama ilmu fardhu ain iaitu kewajipan yang dituntut kepada setiap orang Islam agar dipelajari dan dihayati. Kedua, ilmu fardhu kifayah iaitu ilmu yang mesti ada pada sekumpulan orang Islam agar usaha untuk membangun masyarakat dan umat dapat diteruskan.

FUNGSI PENDIDIKAN DALAM ISLAM.

Nik Aziz (1986) menyatakan Islam sebagai ad din, ia menyediakan panduan yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklan persoalan pendidikan. Firman Allah yang bermaksud :
“Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran itu.” (Al An’am : 38 )

Turki Rabih (1982) menyatakan bahawa Islam adalah agama dan negara,aqidah dan syariat. Justru, pendidikan Islam adalah program untuk menuju kepada matlamat membentuk peribadi manusia yang seimbang dan sepadu sama ada dari segi aqliah,rohani ,jasmani dan emosi.
Oleh itu bidang pendidikan sewajarnya berupaya membentuk insan yang bersih kognitif , personaliti, corak hidup,emosi, budi pekerti dan murni pergaulan sosialnya, sehingga seorang itu boleh mengabdikan diri kepada Allah secara sepenuhnya dalam semua urusan hidup.

Di samping itu pendidikan juga sebagai suatu persediaan roh dan jiwa seseorang untuk menerima pelajaran dan pengtahuan melalui cara yang dirancang. Ia mengambil kira faktor asas untuk membena keupayaan menunaikan risalah dalam hidupnya. Justeru, tujuan pendidikan berhasrat untuk melahirkan insan yang salih, yang tidak mengenal batas masa, negeri dan bangsa untuk mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Sehubungan itu, Muhammad Qutb (1983) menjelaskan ciri-ciri kualiti insan yang salih adalah seperti berikut,
a) Beriman kepada Allah dan membersihkan dirinya daripada sebarang unsur syirik.
b) Melakukan amal salih dalam setiap aspek kegiatan hidupnya
c) Berakhlak mulia sebagai bukti beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

TUJUAN PENDIDIKAN DALAM ISLAM

Tujuan pendidikan dalam Islam secara amnya berdasarkan kepada prinsip-prinsip Dinul Islam itu sendiri iaitu membentuk akidah, sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan (al-falah) di dunia, kesejahteraan abadi dan mendapat keredaan Allah di akhirat.

Hassan Langgulung (1986) menegaskan bahawa segala usaha untuk membentuk watak manusia sebagai khalifah di bumi adalah pendidikan menurut pandangan Islam dimana kelayakan manusia sehingga ia dilantik menjadi khalifah adalah kerana ia mempunyai beberapa ciri istimewa seperti:
1. Fitrah : Semula jadi manusia yang bersih daripada dosa.
2. Roh : Unsur yang membezakannya daripada makhluk lain.
3. Kebebasan kemahuan : Dapat menerima dengan kemahuannya sendiri amanah yang tidak dapat dilaksanakan oleh makhluk-makhluk lain.
4. Akal : Membolehkannya membuat pilihan betul atau salah.

Dengan demkian, tujuan tertinggi pendidikan dalam Islam adalah untuk membina individu yang akan bertindak sebagai khalifah atau sekurang-kurangnya menempatkannya di suatu tahap menuju ke arah tujuan tersebut. Dalam hubunagn ini, Haron Din dan Rakan-rakan (1985) menyatakan : Manusia sebagai khalifah adalah berkewajipan untuk memikul amanah yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. Sifat khalifah yang digelarkan kepada makhluk yang bernama insan itu memang cocok dengan amanah yang diterima untuk dilaksanakannya.

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memiliknya) maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya, dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan. ” ( Al Ahzab : 72 )

Kesimpulannya, pendidikan yang baik dan tulen ialah pendidikan yang berteraskan pada konsep tauhid, kerana dengan tauhid peribadi insan yang luhur dapat dibentuk, dengan paduan yang harmoni antara ilmu, budi, jiwa dan amal salih akan menjadikan sains dan teknologi yang menjadi asas pembangunan negara lebih terjamin manfaatnya kepada manusia dan alam keseluruhannya.

DEFINISI PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan dikenali sebagai tarbiah dalam Bahasa Arab. Perkataan tarbiah berasal dari kata kerja membawa maksud tumbuh, berkembang dan memelihara. Antara makna ialah memperbaiki (islah) , memimpin dan mentadbir. Oleh itu, pendidikan dalam Bahasa Arab disebutkan tarbiah yang pada asalnya membawa makna pertumbuhan, perkembangan dan ketinggian. Menurut al-Baidhawi tarbiah bererti :
Pendidikan ialah menyampaikan sesuatu secara tahap demi tahap menuju kesempurnaan.
Dalam Bahasa Arab ada beberapa istilah yang biasa digunakan dalam pengertian pendidikan. Biasanya ta’lim dipergunakan sesuai dengan firman Allah yang bermaksud :
“Dan dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya. Kemudian ditunjukkannya kepada-Ku semua nama-nama benda ini jika kamu golongan yang benar.” (Al-Quran, Al-Baqarah : 31)

Kata ta’dib juga dipergunakan untuk pendidikan, sabda Rasulullah s.a.w.:
Allah sendiri yang telah mendidikku, oleh kerana itulah aku mendapat pendidikan yang paling sempurna.

Para sarjana Islam telah mengemukakan berbagai-bagai definisi berhubung dengan pengertian pendidikan Islam.
1. Miqdad Yalchin (1977) mendefinisikan pendidikan Islam sebagai proses melaksanakan falsafah pendidikan Islam dan merealisasikan hasilnya dalam bidang pembinaan, pembentukan dan pemasyarakatan seseorang selaras dengan keperibadian yang digariskan oleh falsafah Islam supaya sahsiah Islamiah dapat dibentuk dalam setiap tindak tanduk, tingkah laku dan sikap seseorang muslim
2. Yusof Al-Qardhawi (1982) mendefinisikan pendidikan Islam sebagai pendidikan proses yang mencakupi keseluruhan hidup termasuk akal dan hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkah laku. Kerana tujuannya ialah untuk menyediakan manusia bagi menghadapi hidup, baik dalam keadaan senang atau susah, dalam keadaan damai atau perang, di samping menyediakan mereka untuk menghadapi kebaikan dan kejahatannya, kemanisan dan kepahitan.
3. Khursid Ahmad (1973) , satu latihan aqliah, jasmaniah dan ruhiyah bertujuan melahirkan manusia, laki-laki dan wanita
4. Al-Tamimi, (1985) sesuatu proses yang mampu memperbaiki kehidupan dan mewujudkan keseimbangan peribadi seseorang insan. Islam mempunyai ciri-ciri keimanan, akhlak dan ilmu. Sekiranya ciri-ciri itu tidak ada, maka pendidikan tidak membawa erti yang sebenar, kerana ciri-ciri tersebut merupakan asas untuk mendapat kejayaan dan kemenangan dalam kehidupan.
Ahli-ahli pendidikan Islam berpendapat bahawa pendidikan ialah suatu latihan atau bimbingan terhadap jasmani, rohani dan akal bagi melahirkan manusia yang baik dan sempurna untuk berbakti kepada Allah dan seterusnya untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Berdasarkan kepada definisi yang dikemukakan oleh para sarjana pendidikan Islam dapatlah dibuat kesimpulan bahawa pendidikan Islam merupakan proses mendidik dan melatih aqliah, jasmaniah, rohaniah manusia agar bertaqwa dan mengabdikan diri semata-mata kepada Allah. Pendidikan Islam merupakan suatu pendidikan yang dibina berdasarkan pemikiran dan kenyataan-kenyataan yang berlaku di sekeliling manusia. Malah ia adalah pendidikan yang mengembalikan manusia kepada penciptanya, bertujuan untuk kebahagiaan manusia di dunia dan di akhirat.

SUMBER-SUMBER PENDIDIKAN ISLAM

Islam merupakan agama yang lengkap bagi mengatur kehidupan umatnya sebagai umat yang mempunyai risalah dan tanggungjawab yang ditentukan oleh Allah (swt). Oleh itu, sistem pendidikan dalam Islam adalah berdasarkan kepada peraturan Islam, iaitu peraturan yang mendorong penganutnya ke arah mencapai matlamat kehidupan sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Justru, sumber pendidikan Islam ialah al quraan dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

AL-QURAN SEBAGAI SUMBER PENDIDIKAN ISLAM

Al-Quran mengandungi konsep pendidikan yang agung. Ia menjelaskan konsep dan cara pendidikan yang sepatutnya dilalui oleh manusia kepada keadaan yang lebih baik. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan kami tiadalah menurunkan kepadamu al-kitab (Al-Quran) ini, melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu, dan untuk menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” ( An Nahl : 64 )

Dalam konteks ini, al-Jamali (1972) menyatakan bahawa matlamat pendidikan Al-Quran ialah untuk membina masyarakat yang bertaqwa, adil ,kasih sayang, belas kasihan, memelihara hubungan persaudaraan dan masyarakat yang bertolak ansur, bertanggungjawab, berfikiran terbuka, demokrasi, tidak zalim, tidak sombong dan masyarakat yang berjalan mengikut garis panduan Al-Quran. Oleh itu, setiap pendidikan hendaklah dimulakan dengan Al-Quran kerana ia menjadi asas kepada pendidikan keseluruhannya.

Nahlawi (1985) menegaskan bahawa matlamat terpenting Al-Quran ialah mendidik manusia supaya mengabdikan dirinya kepada Allah (swt). Untuk ini, Al-Quran menggariskan matlamat yang antara lainnya :
1. Mendidik akal supaya berfikir dan mengambil pengiktibaran.
2. Pendidikan akhlak supaya manusia beristiqamah dengannya, tenang serta mengambil petunjuk dengan syariatnya.
3. Mendidik hati dan perasaan supaya tunduk hati dan halus perasaanya.

Firman Allah yang bermaksud :
“Belumlah datang bagi orang-orang yang beriman, supaya tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang yang sebelumnya telah diturunkan al-Kitab kepadanya. Kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang fasiq”. (Al-Quran, Al-Hadid : 16)

HADIS SEBAGAI SUMBER PENDIDIKAN ISLAM

Hadis merupakan sumber syariat Islam yang kedua selepas Al-Quran. Kewajipan berpegang kepada hadis datangnya daripada Al-Quran dan sunnah. Oleh kerana itu, ijmak ulama mewajibkan berpegang dengan hadis merupakan perkara agama yang mesti diketahui, sama seperti beriman kepada Allah dan Rasul. Oleh itu, orang yang mengingkari kebenaran as sunnah bererti dia telah mengingkari sebahagian dari al quraan yang membawa kepada tidak beriman dengan Al-Quran itu sendiri.(Huda Muhsin 1988).

Engku Ibrahim dan Abdul Ghani (1987) menyatakan bahawa kepentingan sunnah dalam Islam tidak boleh dinafikan, kerana sunnah dapat memandu manusia ke jalan kebenaran dan keselamatan dunia dan akhirat. Sunnah dapat dijadikan sumber hukum yang kedua selepas Al-Quran yang wajib diikuti oleh umat Islam. Sunnah juga merupakan media dakwah ke jalan Allah.

ASAS PENDIDIKAN ISLAM

Oleh kerana pendidikan Islam bersumberkan kepada Al-Quran dan hadis, maka asas pokok kepada pendidikan Islam berteraskan kepada akidah, ibadat dan akhlak.

Asas Akidah

Pendidikan Islam dibina berasaskan akidah Islam, iaitu akidah yang menyemaikan keyakinan kepada wujudnya Allah, menjelas dan menyatakan kepada muslimin tentang Rukun Iman yang menjadi teras kepada akidah yang sahih.

Muhammad Baisar (1973) menegaskan bahawa akidah yang sahih ialah akidah yang disampaikan kepada manusia yang bersumberkan kepada wahyu yang datang dari Allah sama ada tentang iktikad, perundangan dan akhlak. Akidah inilah yang menyelamatkan manusia dari kesesatan kepada petunjuk agama yang sebenar. Akidah inilah yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya Islam yang dapat membezakan antara benar dan salah. Firman Allah yang bermaksud :
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan mencegah dari melakukan kemungkaran serta kamu pula beriman kepada Allah”. (Al-Quran, Ali Imran : 110)

Al – Bazz (1986) mentakrifkan akidah yang sahih sebagai segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan oleh orang Islam yang sesuai dengan dalil syarak, berasarkan Al-Quran dan Sunnah. Ia diterima oleh Allah dan merupakan kemuncak dan asas pegangan hidup muslim.

Akidah Islam yang menjadi asas kepada pendidikan Islam akan melahirkan manusia yang beramal, istiqamah, ikhlas dan akhirnya manusia yang dapat membezakan antara baik dan buruk, antara petunjuk dan sesat antara hak dan batil dan antara iman dan kufur. Ia membuat pilihan berteraskan akal yang dipandu oleh ilmu dan seterusnya ia dapat menangkis segala cabaran hidup di dunia dan di akhirat.

Asas Ibadat

Beribadah kepada Allah merupakan tujuan utama dalam hidup ini. Menyembah Allah bererti memusatkan penyembahan kepada Allah semata-mata dengan menjalani dan mengatur segala aspek kehidupan, lahir dan batin, jasmani dan rohani, baik dalam kehidupan individu sebagai hambaNya mahupun dalam hubungan sesama manusia sebagai anggota masyarakat. Jadi untuk menghasilkan tujuan hidup ini, satu daripada asas yang ditekankan dalam pendidikan Islam ialah asas ibadat, samada ianya berupa ibadat khusus ataupun ibadat umum. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku.” (Al-Zaitun :56)

Asas Akhlak

Miqdad Yakhin mentakrifkan akhlak ialah prinsip-prinsip dan dasar atau kaedah yang ditentukan oleh wahyu untuk merialisasi ketertiban dalam pelakuan dan membatasi (bentuk) hubungan dengan orang lain sehingga mencapai matlamat kewujudan di dunia dengan cara yang paling sempurna. Mohd. Jawad Ridha (1972) pula menyatakan, akhlak ialah sifat terpuji yang sepatutnya di miliki oleh setiap orang. Sesebuah masyarakat tidak akan maju sekiranya ia tidak memiliki akhlak yang terpuji, kerana akhlak yang terpuji bermatlamat mendidik manusia kearah mencapai kemajuan dalam kehidupan.

Demikianlah pengertian akhlak dan ilmu akhlak yang menjadi asas kepada pendidikan Islam. Ia mempunyai matlamat untuk melahirkan insan yang berkeperibadian dan berwibawa tinggi sesuai dengan keperibadian Islam itu sendiri. Ia uga berhasrat untuk membentuk kesempurnaan diri manusia sehingga mencapai keindahan nafsani yang kekal abadi. Dalam konteks ini, al-Ibrasyi (1969) menyatakan bahawa pendidikan akhlak adalah jiwa pendidikan Islam. Puncak akhlak yang mulia merupakan sasaran murni dari segala pendidikan. Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasullullah itu suri teladan yang baik bagimu, bagi orang – orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan keselamatan di hari kiamat dan banyak menyebut Allah”. (Al- Azhab: 21)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Sesungguhnya diutuskan aku untuk menyempurnakan akhlak. ”

MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM

Mohd. Attiah Al-Ibrashi (1969) menyatakan bahawa matlamt pendidikan Islam adalah:
“Bertaqarrub kepada Allah, bukan untuk menjadi pemimpim bermegah – megah dan berlumba- lumba”.
Manakala Ibn Khaldun pula menyatakan:
“Sebenarnya pendidikan Islam mempunyai dua tujuan iaitu tujuan keagamaan, maksudnya beramal untuk akhirat sehingga seseorang itu menemui Tuhannya setelah selesai menunaikan hak-hak Allah yang di wajibkan ke atasnya. Kedua, tujuan Ilmiah yang bersifat keduniaan iaitu apa yang di ungkapkan oleh pendidikan moden dengan tujuan kemunafaatan atau persediaan untuk hidup.”

Abdul Kadir Ahmad (1980) menyatakan bahawa matlamat pendidikan Islam ialah untuk melahirkan individu yang salih dalam kehidupan bermasyarakat dan dalam kerhidupan di dunia untuk melahirkan individu yang beramal dengan amalan-amalan Islam supaya mencapai kebahagiaan di akhirat.

Hassan Langgulung (1986) menyatakan bahawa tujuan pendidikan Islam, sebagai alat untuk menentukan haluan pendidikan yang dapat dillihat melalui tiga peringkat iaitu tujuan khas, tujuan am dan tujuan akhir. Apabila digunakan dalam kurikulum, ketiga-tiga peringkat ini mencakupi aspek tertentu pada tujuan tersebut. Peringkat-peringkat tujuannya adalah seperti berikut :
1. Murid-murid akan menguasai prinsip-prinsip ilmu tersebut (tujuan khas)
2. Murid-murid sanggup berfikir secara kritis (tujuan am)
3. Murid-murid akan mencapai perwujudan diri ( tujuan akhir).
Ringkasnya, pendidikan Islam menjurus kepada pembentukan insan yang salih yang dapat memenuhi segala tugasnya di bumi sebagai khalifah Allah yang dapat melaksanakan tugas beribadat kepadaNya berdasarkan ciri-ciri berikut:
1. Fitrah : Hakikatsemula jadi manusia yang baik, bersih dari dosa
2. Roh : Unsur yang membezakannya dengan makhluk lain.
3. Kebebasan kemahuan : Dapat menerima dengan kemahuannya sendiri amanah yang tidak dapat dilaksanakan oleh makhluk-makhluk lain.
4. Akal : Membolehkannya membuat pilihan betul atau salah.

SIFAT-SIFAT GURU PENDIDIKAN ISLAM

Menurut Abd.Halim Muhammadi (1991) diantara sifat-sifat terpuji yang sewajarnya dimiliki oleh guru pendidikan Islam ialah,
a. Zuhud iaitu menyampaikan pengajaran dan pembelajaran bukan kerana balasan kebendaan atau penghormatan masyarakat tetapi kerana mencari keredhaan Allah.
b. Kebersihan Diri iaitu bersih jiwanya daripada segala kekotoran adat dan syarak dan berperibadi tinggi tidak bersifat angkuh,riak,hasad,pemarah dan lain-lain.
c. Ada Kehebatan dan Kehormatan Diri iaitu mempunyai sifat rendah diri, serta pandai melayai hati orang lain dalam pergaulan. Guru juga tidak boleh melibatkan diri dalam suasana yang boleh menjatuhkan peribadi dan maruahnya sebagai seorang guru, samada dari segi pakaian,perbuatan atau percakapan.
d. Bersifat Kebapaan atau Keibuan iaitu mempunyai perasaan kasih kepada setiap anak didiknya sebagaimana ia mengasihi anaknya sendiri.
e. Memahami Tabiat Muridnya iaitu memahami dengan jelas latar belakang dan kemampuan muridnya.supaya guru dapat menyesuaikan bahan dan cara penyampaian.
Bagi Abdullah Ishak (1989 ) diantara sifat-sifat guru yang baik ialah,
a . Memiliki ilmu dan Qaedah Pengajaran yang berbagai.
b . Mempunyai ketokohan, berkeperibadian dan berkewibawaan.sebagai seorang guru.
c . Memberi ilmu semata-mata kerana Allah.
d . Kebijaksanaan dan kematangan
e . Bersifat kasih sayang, pemaaf, bertaqwa dan bertanggungjawab

CIRI-CIRI GURU YANG BAIK.

Abdul Kipli (1994) menyenaraikan kriteria yang harus dimiliki oleh seorang guru yang baik dan berkesan pengajarannya;
a. Bersemangat dan Berkeyakinan.: Pantulan suara yang jelas,lantang dan bersemangat dibantu oleh gerak geri yang menarik perhatian pelajar.
b. Bersifat Cemerlang.: Sentiasa gigih berusaha untuk mencapai kecemerlangan diri dan sekolah.
c. Keupayaan Memimpin.: Perlu sentiasa menunjukkan kebolehan dan kemampuan sebagai seorang pemimpin untuk mengarah dan mengawal suasana pengajaran dan pembelajaran sepanjang masa.
d. Kaedah Pengajaran.: Mudah menerima dan menghayati serta boleh mengaplikasikan P & P yang berkesan dalam suasana kehidupan seharian.
e. Peka : Memahami dan menghayati keseluruhan proses pembelajaran di dalam dan di luar kelas serta berupaya menilai kemampuan dan kelemahan murid.

Menurut Yaakub Isa (1994) ciri-ciri guru yang baik berdasarkan rumusan yang dikemukakan oleh Frank W. Hart dalam kajiannya pada tahun 1934 di Amerika iaitu
1. Sentiasa memberi bantuan dalam kerja-kerja sekolah
2. Periang, gembira, berperawakan menarik dan mempunyai sifat jenaka dan boleh menerima jenaka
3. Berperikemanusiaan, mesra, pengasih dan bersikap sebahagian daripada kami.
4. Berminat dan memahami sikap murid-murid
5. Boleh menjadikan kerja di sekolah seronok
6. Tegas tetapi dihormati dan adil
7. Tidak panas baran, pendendam, merungut atau memerli.
8. Kaedah pengajarannya mudah difahami oleh murid
9. Berkeperibadian yang menyenangkan

SIFAT-SIFAT GURU YANG DISUKAI OLEH MURID

Sebagai pembimbing atau pemimpin yang berkesan, seseorang guru perlu menunjukkan sifat-sifat tertentu lebih-lebih lagi sifat yang digemari oleh murid-murid yang akan menjadi rangsangan untuk memudahkan guru memberi pengajaran yang berkesan, menurut Atan Long (1993) antara sifat-sifat tersebut ialah
1. Mempunyai emosi yang stabil dan mental yang sihat.
2. Badan yang sihat dan sahsiah yang dinamik.
3. Mempunyai kecerdasan otak yang lebih tinggi daripada kebanyakan orang.
4. Mempunyai sifat kreatif, imaginasi dan berdaya saing.
5. Mempunyai suara dan tingkah laku yang beradab.
6. Bertatatertib, bertimbang rasa, sabar, jujur, ikhlas dan tegas.
7. Menepati masa dan berkebolehan mengurus.
8. Mempunyai sifat yang positif dan menggalakkkan.
9. Memberi bimbingan yang demokratik.
10. Sentiasa menjaga profesionalisme perguruan.

SIFAT-SIFAT GURU YANG TIDAK BAIK

1. Garang, membebel, tidak pernah senyum, suka memerli dan mudah hilang sabar.
2. Tidak membantu kerja-kerja sekolah dan tidak menerangkan pelajaran dan tugasan dengan jelas serta bekerja tanpa perancangan.
3. Berat sebelah, pilih kasih dan menyukai pelajar tertentu.
4. Sombong, angkuh dan susah menerima pandangan orang lain.
5. Tiada pendirian, keras kepala, tidak bertimbang rasa dan bersifat terlalu tegas.
6. Tidak memberikan perhatian terhadap perasaan murid, memalukan murid dihadapan teman sekelas dan memanjangkan masa pembelajaran.
7. Tidak adil dalam pemberian markah ujian dan peperiksaan.
8. Tidak berminat mengenali latar belakang murid.
9. Pemberian tugasan dan kerja rumah tanpa sewajarnya.

GURU YANG EFEKTIF MENURUT IMAM GHAZALI

Al-Ghazali telah memberikan lapan ciri-ciri guru yang efektif, merangkumi aspek kualiti dan tugas seorang guru yang cemerlang.
1. Mempunyai rasa simpati kepada murid dan menganggap serta melayani mereka sebagaimana anaknya sendiri.
2. Mengikuti tingkah laku dan sunnah Nabi Muhammad dan tidak meminta imbuhan atas perkhidmatan yang diberinya.
3. Tidak menasihati atau membenarkan muridnya melaksanakan sesuatu tugas kecuali dia (guru) benar-benar terlatih dan berpengatahuan tentang perkara tersebut.
4. Menasihati murid-muridnya supaya meninggalkan kelakuan buruk secara lembut, bukannya dengan memarahi mereka.
5. Tidak sekali-kali merendah-rendahkan disiplin ilmu yang lain dihadapan murid-muridnya.
6. Hadkan pembelajaran bersesuaian dengan tahap pemahaman murid dan tidak sekali-kali memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan.
7. Menyediakan bahan pembelajaran yang mudah difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid khususnya murid yang kurang pintar.

PENUTUP

Sesungguhnya guru adalah sebagai pendukung, pencorak, pembentuk dan pembina generasi di hari muka. Dengan bebanan tugas seharian yang semakin bertambah dan rumit pada masa kini, bidang kerjaya guru merupakan satu bidang yang amat mencabar. Namun demikian, kita masih mempunyai rakan dan panduan dari Allah s.w.t untuk memohon bantuan dan pertolongan kerana kerjaya perguruan adalah media dakwah untuk terus memertabatkan nilai kemuliaan manusia .

BOLL

2 comments on “PROFESIONALISME, PERANAN DAN CARA MENINGKATKANNYA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s